Palestin Kau Sentiasa di Hati
Posted
by : Mukhlis Nasri
Gaza diserang
bertubi-tubi oleh Israel laknatullah, peluru-peluru berpandu mereka dilepaskan
tanpa mengenal erti kemanusiaan, baik kanak-kanak atau wanita mahupun warga
emas semua menjadi mangsa kerakusan si durjana, seolah mereka berkuasa mutlak
atas muka bumi ini, lupakah mereka yang Allah SWT lebih berkuasa daripada
mereka, lupakah mereka, betapa ramainya para nabi diturunkan dalam kalangan
mereka agar mereka berubah? Tetapi mereka tetap sombong serta angkuh mengaku
mereka kaum termulia, selain kaum mereka hanya bertaraf binatang yang halal
darahnya.
Lihat sahaja
surah Al-Baqarah, Allah SWT mengkisahkan tentang kaum Yahudi, bagaimana
banyaknya nikmat yang diberikan kepada mereka, tetapi mereka tetap kufur. Malah
menafikan kerasulan nabi Muhammad SAW, kerana baginda bukan daripada bangsa
mereka.
Hati terasa
panas mendengar berita-berita tentang serangan yang dilakukan oleh musuh Islam
terhadap saudara seiman. Mereka menyerang saudara-saudara kita melalui udara
dan laut tidak melalui darat kerana mereka adalah pengejut, takut untuk
bertentang senjata dengan tentera muslim, kerana Allah SWT sentiasa
membantu tenteranya sehingga membuatkan musuh Allah menjadi gentar dan takut dalam
berjuang. Hal ini dinukilkan dalam Al-Quran:
“Ketika
tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat, “sesungguhnya aku bersama kamu, maka
teguhlah (pendirian) orang-orang yang beriman”, kelak akan aku berikan rasa
takut ke dalam hati orang-orang kafir, maka pukullah di atas leher mereka dan
pukullah pada tiap-tiap jari mereka.” (Al-Anfal:12)
Palestin Yang
Tidak Akan Luput
Walaupun
Israel menguasai hampir keseluruhan bumi Palestin, mereka mengambil daripada
umat Islam secara kasar, mereka penceroboh yang tidak pernah diadili di
mahkamah dunia yang kononnya adil. Tetapi Allah SWT menjanjikan
kemenangan kepada umat Islam malah Rasulullah SAW ada bersabda:
“Sentiasa
akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran,
mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat
memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka
tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?”
Jawab Rasulullah, ” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya”.(Hadis
Riwayat Bukhari)
Umat Islam
sentiasa berjuang di Palestin sehingga membebaskan negeri ini daripada
perakus-perakus sehinggalah akhir zaman. Hadis lain juga Rasulullah SAW
menyebutkan:
“Penduduk
Gharb (yang berada di arah Barat) akan senantiasa menegakkan kebenaran sehingga
Kiamat datang”. (HR Muslim 13/68, Nawawi).
Imam Ahmad
berkata,”yang dimaksudkan dengan Ahli Gharb adalah penduduk Syam.” Dan jawaban
ini disepakati oleh Ibnu Taimiyah serta ulamak-ulamak yang lain
(Manaqibisy-Syam wa Ahlihi, halaman 76-77).
Maka kita
sentiasa meyakini Palestin tetap akan menjadi milik kita walaupun pelbagai
ujian menimpa, kerana keyakinan kita terhadap janji Allah SWT tentang perkara
ini. Malah umat Islam di seluruh dunia akan bersatu-padu dalam menyelesaikan
permasalahan ini kerana Allah SWT mengambarkan bahawa orang mukmin sesama
mereka adalah pembantu antara satu sama lain.
“Dan
orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi
penolong bagi sebahagian yang lain” (At-Taubah:71)
Palestin Yang
Dicintai
Kecintaan
kita terhadap tanah yang diberkati Allah SWT dan tempat penuh bersejarah bagi
umat Islam, apabila Nabi SAW melakukan isra’ di sini, sehingga Allah nukilkan
perkara ini dalam Kitab Suci:
“Maha suci
Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari
Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya agar kami
perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) kami, Sesungguhnya Dia
maha mendengar, maha mellihat.” (Al-Isra’:1)
Tidak akan
pernah padam, dan akan terus dinyalakan sehingga kita balik bertemu Allah SWT
dalam keadaan Allah redha dengan kita. Kecintaan kita ini bukanlah bermusim
tetapi sentiasa berbunga.
Mereka
saudara kita yang dibina atas keimanan. Dan Rasulullah SAW bersabda tentang
ukhuwah orang-orang beriman,
Daripada
Nu’man Bin Bashir RA: Rasulullah SAW bersabda: “Perbandingan orang-orang mukmin
pada kasih sayang mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabilah
satu anggota berasa sakit seluruh badan akan turut merasainya.” (Hadis Riwayat
Syaikhan)
Sekiranya
orang-orang kafir yang menyokong perjuangan Palestin mempunyai perasaan
terhadap sahabat-sahabat kita, kenapa tidak kita yang merasainya, kita yang
sepatutnya lebih merasai kesusahan mereka.
Tugas Kita
Wahai Orang Beriman:
Pada asalnya
apabila sesebuah negara Islam dijajah, maka hukum untuk keluar berjihad menjadi
wajib aini bagi negara tersebut untuk membebaskannya, sekiranya negara tersebut
tidak mampu, maka hukumnya beralih ke negara yang bersebelahan dengan negara
tersebut.
Imam
Al-Qurtubi berkata: Boleh jadi sesuatu keadaan itu jihad menjadi wajib untuk
semua pihak, sekiranya musuh menakluki negara islam atau sedang bergerak menuju
ke negara Islam untuk menyerang, maka wajib bagi semua penduduk di negara
tersebut keluar berjihad baik pemuda atau pun warga emas, semua atas
kemampuan masing-masing, sekiranya warga negara tersebut lemah dalam
menghadapi tentangan tersebut, maka hukum wajib berpindah ke negara yang
berdekatan dengannya sehinggalah negara tersebut dibebaskan. (Al-Jami’
liAhkamil Qur’an oleh Al-Qurtubi 8/150)
Pada zaman
ini, kebanyakkan negara umat islam berkondusi lemah dalam banyak sudut baik
ekonomi, politik, sosial, pendidikan, ketenteraan dan lain-lain sudut, sehingga
negara-negara islam tidak mampu membantu negara Palestin yang dijajah. Dan
sebagai mukmin yang sedar akan tanggungjawab ini kita menjalankan tanggungjawab
sekadar yang mampu. Sekadar cadangan daripada saya:
1. Sebarkan
kefahaman kepada masyarakat tentang permasalahan Palestin. Permasalahan ini
perlu diketahui oleh semua lapisan masyarakat agar masyarakat kita mempunyai
kesedaran untuk memainkan peranan dalam menyelesaikan permasalahan ini.
Rasulullah
SAW bersabda: “Barangsiapa
yang tidak mengambil peduli urusan orang mukmin, maka ia bukan sebahagian
daripada mereka” (Akhrajahu Ibn Hibban dan Al-Hakim, Hadis ini
didhoifkan oleh Imam Az-Zahabi dan Imam al-Albani)
2. Sentiasa
mendoakan saudara seakidah kita di sana agar diberi kekuatan dan kemenangan
buat mereka kerana doa adalah senjata orang mukmin, Doa yang tidak putus-putus
untuk kita panjatkan pada Allah SWT. Imam As-Syahid Hassan Al-Banna mengatakan
kekuatan kita terletak pada tiga perkara iaitu kekuatan iman, ukhuwah dan
badaniah. Maka kita gunakan kekuatan iman dan ukhuwah kita dalam doa kita agar
Allah azza wa jalla membantu mereka.
Sekiranya
berlaku serangan besar-besaran terhadap saudara kita, maka bacalah qunut
nazilah pada setiap solah kita. Sepertimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah
SAW apabila beberapa orang sahabat RA dibunuh oleh orang musyrikin di Bi’r
Ma’unah.
3. Boikot
barang-barang yang jelas keuntungannya digunakan untuk membantu Israel dalam
membunuh rakyat Palestin. Mungkin ada sebahagian pihak mengatakan bahawa boikot
ini tidak memberi apa-apa kesan kepada ekonomi Israel, tetapi sebenarnya
memberi kesan yang besar terhadap ekonomi Israel. Antara syarikat yang pernah
terkesan akibat pemboikotan ini ialah Supermarket Sainsburry di Mesir ditutup,
penerbangan American Airlines ke tel Aviv bermasalah, penerbanagn Trans World
America muflis serta kempen memboikot produk Amerika di negara-negara
Arab mengakibatkan kerugian sebanyak 40%.
4. Menderma
kepada rakyat Palestin yang berada di Gaza melalui mana-mana NGO yang
berdaftar. Sumbangan ini amat penting bagi menggerakkan sosio-ekonomi rakyat
Palestin di Gaza serta memulihkan infrastruktur-infrstruktur yang musnah akibat
serangan Israel.
Sumbangan
tersebut juga amat penting bagi memastikan rakyat yang tercedera dalam serangan
mendapat bantuan perubatan dan ubat-ubatan yang mencukupi.
Penutup:
Api kecintaan
kepada tanah Palestin mesti sentiasa dihidupkan, jangan biarkan ia bermusim,
tetapi berbunga sepanjang kehidupan kita. Didiklah masyarakat kita, bentuklah
anak-anak di rumah untuk sentiasa mencintai saudara-saudara seaqidah yang
sentiasa berjuang membebaskan tanah air mereka.
Moga Allah
SWT memasukkan kita dalam golongan yang Allah SWT sebutkan dalam Al-Quran:
“Di antara
orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka
janjikan kepada Allah, Dan di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka
ada (pula) yang menunggu (apa yang telah Allah janjikan) mereka sedikit pun
tidak mengubah (janjinya)” (Al-Ahzab:23)
Wallahu
‘alam.